+607-5534026 +607-5532206 fest@utm.my

Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, mahasiswa universiti juga tidak dapat lari daripada terhimpit dengan masalah kewangan. Biasiswa yang diterima oleh sesetengah mahasiswa hanya diperuntukkan khusus untuk pembayaran yuran pengajian semata-mata. Sehubungan itu, Fakulti Pendidikan di bawah pimpinan Dekan Prof. Dr. Baharuddin Aris telah melancarkan inisiatif “Free Meal Project” untuk semua mahasiswa UTM bagi membantu meringkankan beban kehidupan dan pada masa yang sama memberi peluang kepada mereka yang berkemampuan untuk membantu mahasiswa yang memerlukan. Inisiatif ini menjadi titik pertemuan antara mereka yang mampu dan ikhlas membantu menyalurkan bantuan dan mahasiswa UTM yang memerlukan, khususnya mereka yang menghadapi kesukaran seperti ketiadaan biasiswa atau pinjaman, biasiswa atau pinjaman belum diluluskan atau kemudahan pembiayaan tersebut tidak dapat disalurkan masuk ke Malaysia, contohnya pelajar Nigeria.

Inisiatif ini diusahakan oleh PM Dr Fatin Alia Phang dengan sokongan Dekan Fakulti Pendidikan, Professor Dr. Baharuddin Bin Aris. Inisiatif ini telah bermula pada 20 November 2016 untuk memberikan pek makanan percuma pada setiap Ahad petang. Ianya telah berlangsung sebanyak sembilan kali sehingga hari ini. Pada awal inisiatif, sebanyak 100 pek makanan (nasi, sepotong ayam, sayur, kuah) diedarkan pada setiap minggu di aras 1 Blok C13, Fakulti Pendidikan bermula jam 5.30 petang. Mahasiswa mesti menunjukkan kad matrik untuk mendapatkan pek makanan yang diberikan seorang satu pek. Selepas proses pendaftaran, makanan diedarkan dalam keadaan yang teratur. Segala urusan projek ini daripada tempahan makanan sehingga edaran dikendalikan oleh sekumpulan sukarelawan dari Fakulti Pendidikan yang terdiri daripada mahasiswa Sarjana Pendidikan Fizik dan dipantau oleh Penyelaras Program tersebut. Mereka juga kadang-kala dibantu oleh sukarelawan mahasiswa pra siswazah daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM.

Sumbangan atau pembiayaan projek ini diterima daripada pensyarah Fakulti Pendidikan dan orang ramai yang bermurah hati. Pek makanan yang dibekalkan oleh pengusaha “Nasi Kukus Ayam Goreng Berempah Cikgu” dari Taman Pulai Jaya ini adalah pada harga yang jauh lebih rendah berbanding harga jualan biasa. Harga rendah ini merupakan sumbangan pengusaha tersebut kepada mahasiswa Fakulti Pendidikan selaku seorang alumni Fakulti Pendidikan UTM. Setiap minggu, En. Mohd Pua’at Ahmad, jurufoto Fakulti Pendidikan merakamkan proses edaran tersebut yang dipaparkan di Facebook rasmi Fakulti Pendidikan. Sehingga kini, lebih kurang 75% mahasiswa yang hadir menerima pek makanan adalah mahasiswa Fakulti Pendidikan yang terdiri daripada mahasiswa prasiswazah dan pascasiswazah. Mahasiswa daripada fakulti lain di UTM turut hadir untuk menerima sumbangan, khususnya Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Fakulti Sains UTM. Warga UTM atau orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan dan mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Penolong Pendaftar Kanan Fakulti Pendidikan, Pn Najwa Mohamed. Setakat ini, sukarelawan ini telah menerima sumbangan wang tunai lebih daripada RM5000 dan sumbangan makanan seperti 100 pek mi yang disumbangkan oleh ibu kepada salah seorang alumni Fakulti Pendidikan.

Semoga usaha dan kerja amal sebegini dapat diteruskan dan mendapat kerjasama dan sumbangan dari semua warga UTM dan masyarakat.

 

 

Foto 1: Pendaftaran mahasiswa

Foto 2: Mahasiswa beratur untuk mendapatkan Free Meal

Foto 3: Mahasiswa antarabangsa mendapatkan Free Meal yang dikendalikan oleh sukarelawan mahasiswa Fakulti Pendidikan

Foto 4: Selesai sesi pengedaran Free Meal